Fadhilatusy Syaikh asy-Sya'raawi dalam himpunan fatwanya "al-Fatawa" mukasurat 201-202 menyatakan seperti berikut:-
- Telah disebut oleh asy-Syaikh al-'Adawi rhm. dalam "Masyaariqul Anwaar" bahawasanya:- "Telah sepakat atas sampainya (pahala) sedekah kepada si mati. Tidak ada bezanya sama ada sedekah tersebut dilakukan jauh dari kubur si mati atau dekat. Dan demikian jugalah pada doa dan istighfar." Dan telah berkata al-Imam al-Qurthubi bahawa telah ijma` sekalian ulama atas sampainya (pahala) sedekah kepada orang-orang mati, dan demikian pula perkataannya pada bacaan al-Quran, doa dan istighfar yang dikuatkannya dengan hadis: " Dan setiap ma'ruf itu adalah sedekah". Demikian lagi dikuatkannya dengan hadis Junjungan s.a.w.: " Orang mati itu di dalam kuburnya seperti orang lemas yang meminta-minta pertolongan. Dia menunggu doa berhubungan dengannya daripada saudaranya atau sahabatnya, maka mendapat doa tersebut adalah lebih baik baginya dari dunia seisinya." Dan juga dalil atas sampainya pahala tadi ialah hadis Junjungan s.a.w.: "Sesiapa yang melalui perkuburan lalu membaca Suratul Ikhlash 11 kali, kemudian dihadiahkan pahalanya kepada orang-orang mati, dikurniakan pahala baginya sebanyak bilangan orang-orang mati tersebut." Adalah al-Imam Ahmad bin Hanbal berkata:- "Apabila kamu memasuki kawasan perkuburan, maka kamu bacalah al-Fatihah dan al-Mu`awwidzatain dan Suratul Ikhlash dan kamu jadikanlah pahala yang sedemikian itu buat ahli kubur tersebut, maka bahawasanya pahala tersebut sampai kepada mereka."
Tok Syaikh Daud al-Fathani pula dalam "Bughyatuth Thullab" juzuk 2 mukasurat 33 menulis:-
- (Faedah) Telah datang daripada salaf bahawasanya barangsiapa membaca surah Qul Huwa Allahu Ahad sebelas kali dan dihadiahkan pahalanya bagi ahli kubur , diampun Allah ta`ala dosanya dengan sebilang-bilang orang yang mati di dalam kubur itu dan riwayat yang lain diberi akan dia pahala sebilang orang yang mati padanya.
Meh ramai-ramai hadiahkan
pahala bacaan-bacaan tersebut untuk orang-orang Islam yang telah wafat.
Mudah-mudahan bermanfaat buat kita dan mereka.....al-Fatihah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar