elebihan Membaca Mawlid 2
Seterusnya Sidi Syatha dalam "I`anatuth-Tholibin" menyambung:-
- Dan telah berkata al-Imam al-Yafi`i al-Yamani (sesetengah kitab tersilap cetak di mana huruf "ya" berubah kepada "syin" menyebabkan perkataan ini dinisbahkan kepada Imam asy-Syafi`i):- "Sesiapa yang menghimpunkan untuk Mawlidin Nabi s.a.w. saudara-saudaranya, menyediakan makanan dan tempat serta berbuat ihsan sehingga menjadi sebab untuk pembacaan Mawlidir Rasul s.a.w., dia akan dibangkitkan Allah pada hari kiamat berserta dengan para shiddiqin, syuhada` dan sholihin serta dimasukkan dia ke dalam syurga-syurga yang penuh keni'matan."
Tentu
ada ikhwah yang tertanya-tanya, kenapa para ulama ini begitu berani
menyatakan kelebihan-kelebihan bermawlid dengan janji-janji nanti akan
bersama para anbiya' dan dapat syurga tinggi, sedangkan mereka bukannya
Nabi yang diutuskan yang menerima wahyu berhubung perkara ini.
Jawapannya ikhwah kena faham kaedah bahasa 'Arab yang dibicarakan dalam ilmu ma`ani bab khabar dan insya`, kerana menurut kaedah ada jumlah yang nampaknya seperti khabariyyah yang membawa erti perkhabaran atau berita tetapi sebenarnya adalah insya-iyyah yakni menyatakan harapan atau keinginan seseorang, bahkan seolah-olah dia berdoa. Jadi makna perkataan ulama tersebut bukannya khabariyyah tetapi lebih kepada insya-iyyah dalam ertikata lain contohnya jika dikatakan "dapat syurga" maka ertinya " aku ingin atau berharap agar dia dimasukkan ke syurga".
Hal begini yang menyebabkan ramai yang tak faham perkataan awliya
sehingga berani menuduh para awliya` dan ulama memandai-mandai memberi
jaminan yang bukan hak mereka. Begitu juga contohnya, Sidi Abdul Qadir
al-Jilani pernah berkata: "Tiada orang Islam yang lalu melintasi
pintu madrasahku melainkan akan diringankan daripadanya azab pada hari
kiamat." - rujuk manaqibnya yang dikarang oleh Sayyidisy-Syaikh Ja'far
al-Barzanji dengan jodol "al-Lujainud-Dani fi Manaqib asy-Syaikh 'Abdul Qaadir al-Jiilani". Para ulama memberikan berbagai tafsiran berhubung perkataan ini, dan antaranya ialah ini adalah jumlah insya-iyyah walaupun zahirnya berbentuk khabariyyah,
justru ianya merujuk kepada harapan Sulthanul Awliya tersebut agar
sesiapa yang pernah melintas pintu madrasahnya diberi keringanan azab
pada hari kiamat. Oleh itu fahami betul-betul ilmu sebelum membuat
apa-apa tuduhan terhadap para ulama yang 'amilin yang menjadi sandaran
umat. Pelajari dan kuasai ilmu-ilmu alat sebaik para ulama dahulu dan
mengikut kaedah bahasa yang terpakai pada zaman-zaman awal Islam dan
bukannya kaedah bahasa 'Arab Qamus Munjid yang dikarang oleh orientalis.
Ilmu nahwu, sharaf, balaghah, bayan, ma`ani, badi' dan lain-lain lagi
perlulah betul-betul dikuasai sebelum nak memperlekehkan ulama yang
telah mengabdikan seluruh hidupnya untuk ilmu dan dakwah. Walau apa pun,
segala perkataan ulama tersebut adalah endorsement mereka untuk
menggalakkan pembacaan mawlid Junjungan Nabi s.a.w. agar lidah dan
telinga kita sentiasa menyebut dan mendengar nama Junjungan s.a.w. dan
sirah serta kebesaran baginda, dan mudah-mudahan dengan lidah menyebut,
telinga mendengar, turun kecintaan dalam hati sanubari kita. Inilah yang
dikehendaki oleh ulama agar setiap umat cinta dan kasih serta faham
kebesaran dan sirah perjuangan Junjungan s.a.w. untuk diagungkan dan
dicontohi. Mudah-mudahan Allah merahmati ulama kita
sekaliannya.......al-Fatihah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar